Info H1N1

Utusan Malaysia



Rabu, 15/07/2009




Penyakit tangan, kaki dan mulut meningkat di Sarawak

KUCHING 14 Julai - Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini meningkat sepanjang enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, 8,205 kes HFMD direkodkan sepanjang tempoh itu berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 2,428 kes.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai terutama ibu bapa tidak perlu khuatir dengan perkembangan itu kerana jangkitan penyakit masih terkawal dan pihak Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil tindakan sewajarnya.

"Peningkatan jangkitan ini tahun ini memang telah dijangkakan berdasarkan trend penyakit itu yang berlaku setiap tiga tahun sekali.

"Walaupun berlaku kes jangkitan yang serius, kami tidak menerima sebarang rekod kematian setakat ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hong Nam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana negeri memberitahu, kes HFMD berlaku di setiap bahagian di negeri ini termasuk membabitkan jangkitan enterovirus 71 (EV71).

Tanpa mendedahkan jumlah sebenar kes itu, beliau menegaskan, ibu bapa perlu sentiasa mengambil pendekatan kebersihan dan menjaga tahap kesihatan anak-anak mereka setiap masa.

"Walaupun kerajaan mengambil langkah proaktif mengatasi masalah itu, ibu bapa juga perlu peka dengan perkembangan kesihatan anak-anak. mereka dengan merujuk mereka ke hospital sekiranya mengesyaki sebarang jangkitan HFMD ke atas anak mereka," katanya.

0 comments:

Post a Comment